Berbuat baik kepada jiran adalah tuntutan agama. Bahkan perintah itu disebut dengan diikat bersama perintah Allah dan tidak melakukan syirik. Ia menggambarkan satu perintah yang besar dan tidak boleh dipandang remeh seperti mana yang disebut dalam surah al-Nisa', ayat 36.
Berbuat baik kepada jiran dan menjadi jiran yang baik mempunyai kaitan dengan kualiti iman kita. Kesempurnaan iman seseorang bukan hanya bergantung kepada sejauh mana hubungannya dengan Allah SWT, bahkan ia juga dilihat bagaimana hubungannya dengan manusia yang lain termasuk jiran terdekat.
Sebab itu Rasulullah SAW berpesan: "Sesiapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya." (Riwayat Muslim)
Jangan abaikan perasaan jiran
Seseorang yang mengambil berat tentang hubungannya dengan Allah, sentiasa beribadah, rajin solat berjemaah di masjid, selalu ikuti pengajian agama, melazimi berpuasa sunat, berdamping dengan al-quran, mengamalkan zikir-zikir harian dan sebagainya sebenarnya belum terjamin kesempurnaan imannya sekiranya hubungannya dengan jiran diabaikan.
Lebih malang, jika dia menjadi jiran yang tidak disenangi oleh jiran-jirannya yang lain disebabkan tindakan atau kata-katanya.
Oleh itu, usah memandang remeh hubungan kita dengan jiran-jiran yang lain. Ia amat diberi perhatian oleh Islam hinggakan Nabi Muhammad SAW bersabda, "Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran akan boleh mewarisi hartaku." (Riwayat al-Bukhari)
Hakikatnya, jiran bukanlah termasuk dalam senarai ahli keluarga yang berhak mewarisi harta seseorang selepas dia meninggal dunia. Namun, pesanan Jibril kepada baginda rasulullah SAW itu menunjukkan kedudukan jiran yang sangat penting dalam kehidupan kita.
No comments:
Post a Comment